Penduduk minta lampu isyarat BANDAR PUTERI -
Rata-rata penduduk di Persiaran Bandar Puteri di sini kesal kerana permohonan kepada Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) bagi menempatkan lampu isyarat di simpang tiga di sini masih tiada maklum balas positif. Penduduk mendakwa, ketiadaan lampu isyarat dan bonggol jalan menyebabkan segelintir pemandu memecut laju di jalan utama berkenaan tanpa memikirkan keselamatan nyawa diri sendiri dan orang lain. Setiausaha Persatuan Penduduk Bandar Puteri 7, Jacky Teh berkata, beliau pernah membuat permohonan mengenai perkara itu beberapa bulan lalu kepada pihak Majlis. Namun katanya, maklum balas diterima mengatakan pihak berkenaan masih melakukan kajian terhadap pembinaan persimpangan lampu isyarat itu. “Bagaimanapun, selepas beberapa bulan, kami kecewa kerana masih tiada reaksi positif mahu pun maklum balas diterima mengenai perkara itu. “Ia menyebabkan ada sesetengah penduduk yang sering bertanya kepada pihak kami kerana tidak sanggup melihat kejadian kemalangan ketika dalam perjalanan pergi dan pulang kerja, terutama apabila menggunakan jalan berkenaan,” katanya. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kejadian kemalangan yang berlaku di simpang tiga berkenaan pagi semalam yang membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal. Difahamkan, kejadian berkenaan bukanlah kali pertama berlaku di situ dan ia dikatakan sudah beberapa kali terjadi termasuk di dua persimpangan terletak kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian. “Dahulu, penduduk ada menyuarakan pandangan untuk membuat ‘Signature Campaign’ bagi memohon lampu isyarat berkenaan. “Namun kita menyarankan pihak Majlis supaya lebih teliti menangani masalah ini kerana mungkin ada pihak yang tidak bersetuju sekiranya ia dibina di simpang tiga itu,” katanya. Beliau berkata, pihaknya juga berharap sekiranya lampu isyarat itu tidak dapat dibina dalam masa terdekat, beberapa bonggol dapat diwujudkan supaya pengguna jalan raya lain dapat memperlahankan kereta dan memudahkan pemandu lain keluar dari simpang. Sementara itu, Pembantu Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Serdang, Kuan Chee Heng berkata, Majlis tidak seharusnya menunggu beberapa nyawa menjadi korban di jalan itu sebelum dapat membina lampu isyarat. “Di simpang itu sahaja, sudah tiga kali kemalangan berlaku di hadapan mata saya walaupun ia tidak membabitkan kehilangan nyawa, namun mangsa menjadi korban akibat tiadanya ciri-ciri keselamatan yang boleh dipertingkatkan. “Jarak penglihatan untuk kenderaan bertentangan terhad iaitu hanya 50 meter sahaja. Maka janganlah tunggu kemalangan jiwa berlaku baru pelaksanaannya hendak dikaji,” katanya. Bekas Ahli Majlis MPSJ, Datuk Samson David Maman berkata, pihaknya sedia maklum pembinaan lampu isyarat di persimpangan itu sudah diluluskan dalam satu Mesyuarat Infrastruktur bersama pemaju tahun lalu. Bagaimanapun katanya, beliau kecewa apabila pembinaan lampu isyarat berkenaan masih belum dilaksanakan sehingga tahun ini. “Keselamatan jalan utama Bandar Puteri ini perlu dipertingkatkan kerana ia membabitkan nyawa pengguna jalan raya. “Kenapa masih memberi alasan perlu kaji atau berfikir lagi sedangkan ia boleh meragut banyak nyawa pengguna jika masih tiada tindakan,” katanya ketika menghubungi Sinar Harian.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)






No comments:
Post a Comment