Peniaga mohon MPSJ pasang CCTV kesan
aktiviti jenayah (16/10/2008)
SUBANG JAYA - Peniaga Pasar Pagi Puchong Indah di sini menggesa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) memasang kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar kawasan di sini yang dikatakan menjadi lubuk pembuangan barang hasil curi oleh individu tidak bertanggungjawab. Ini berikutan dakwa mereka, tempat berkenaan sering dijadikan kawasan membuang barang hasil curi seperti rangka motosikal, beg tangan dan sebagainya untuk melupuskan bukti perbuatan jenayah yang dilakukan individu terbabit. Pembantu Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Serdang, Kuan Chee Heng berkata, pihaknya kecewa kerana parit besar bersebelahan tempat perniagaan pasar pagi dijadikan kawasan penjenayah membuang barang hasil curi. Katanya, pihaknya memohon MPSJ supaya dapat memasang CCTV bagi memantau pergerakan individu di kawasan itu terutama yang mencurigakan. Ini kerana kata beliau, peniaga datang pada awal pagi memulakan perniagaan dan bimbang dengan keselamatan mereka akan tergugat. “Kebiasaannya perasaan takut terhadap jenayah memang wujud dalam sanubari manusia terutama apabila melihatnya bukti-buktinya di depan mata. “Oleh itu, saya menyeru supaya penduduk dapat memberikan maklumat dan kerjasama kepada pihak polis untuk tujuan pencegahan,” katanya. Jelas Kuan, bagaimanapun pihaknya mengakui kegiatan jenayah di kawasan Puchong masih dalam keadaan terkawal serta dapat dibendung. “Ia menunjukkan kerjasama yang dijalinkan antara pihak polis dengan penduduk di mana dapat menyalurkan maklumat sekiranya melihat perlakuan atau kejadian jenayah di sekitar mereka. “Malah saya berharap setiap wakil persatuan penduduk juga mengambil inisiatif merapatkan serta mengukuhkan hubungan dengan polis untuk mengurangkan kejadian jenayah,” ujarnya lagi ketika ditemui.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)






No comments:
Post a Comment